Wednesday, January 28, 2009

Hari Perbicaraan.....

28 Januari 2009

8.00 pagi - Mama bersiap nak ke mahkamah. Penat pindah barang ke rumah baru tak habis lagi. Tapi untuk mempertahankan hak mama untuk bersama iman, mama kuatkan juga diri. Sebelum ke mahkamah, mama singgah jap kat pasar... beli sarapan untuk tok dan adik-adik. Tok tak berapa sihat hari ni, pening kepala dan muntah-muntah. Mungkin penat sangat pindah barang semalam agaknya. Sebelum balik... mama beli ikan untuk tom.. Tom sekarang ni taknak makan lain dari ikan rebus gaul dengan nasik. Melampau betul. Mama tengok, tom pun rindukan iman. Ya la... sejak Iman takdak kat rumah, takdak sapa yang boleh main-main dengan dia. Aina dengan Adik Is tu... kalau tom kejar sikit dah menjerit-jerit takut. Lintang pukang lari naik atas sofa. Ish... panjang pula cerita pasal tom. Siap beli sarapan, mama hantar ke rumah dan terus ke Mahkamah.

9.15 pagi - Sampai juga mama ke Mahkamah Tinggi. Masa mama sampai Hakim dah masuk ke dewan. Semua orang senyap sunyi. Mama tunggu nama mama dipanggil.

9.45 pagi - Pengendali bicara panggil nama mama dan abah. Mama nampak abah bangun dari celah-celah barisan. tak sangka dia datang pula kali ni. Dua perbicaraan sebelum ni dia tak pernah datang. Lawyer abah pun hadir sama. Abah bacakan wakalah perlantikan peguam dan peguam abah minta satu tarikh untuk pembelaan diadakan. 4 Mac 2009.... dipersetujui oleh peguam mama dan peguam abah. Hmmm... kena tunggu lagi. Dari tahun lepas mama turun naik mahkamah. Tapi apa nak buat.. kena lah bersabar kan. Bagi mama, walaupun nak dapatkan Iman memang susah tapi mama tahu kepuasan bila dapat semula Iman amat tinggi nilainya dari apa yang mama perlu mama korbankan.

9.55 pagi - Selesai menghadap hakim, mama bangun untuk keluar tapi lawyer mama minta tungu sehingga dia selesai. Mama pun duduk di bahagian menunggu di belakang dewan. Mama perhatikan abah terus keluar dari dewan.

10.15 pagi - Lawyer mama selesai perbicaraan kes-kes yang lain. Dia datang kepada mama dan ajak mama keluar dari dewan perbicaraan. Keluar dari dewan perbicaraan, mama nampak abah dengan isteri barunya. Hmm.. tersenyum mama tengok diorang. Mungkin dia nak tunjuk pada mama yang isteri barunya. Mama harap, isteri baru abah boleh bahagiakan abah lebih daripada apa yang mama mampu. Yang penting bagi mama, masa depan mama dan anak-anak mama. Mama lebih bahagia bila ketiga-tiga anak mama membesar depan mama dengan akhlak yang baik dan masa depan yang cerah.

Mama berbincang dengan lawyer tentang kes hak penjagaan Iman. lawyer mama dah buat satu surat akujanji yang menyatakan hasil dari perbualan telefon antara lawyer mama dan lawyer abah, abah telah bersetuju untuk membenarkan mama berjumpa dengan iman. :) Jadi, minta satu tarikh bila mama boleh berjumpa dengan Iman. Mama diberitahu oleh lawyer yang, abah kata Iman yang tak mahu langsung berjumpa dengan mama. Namun mama tak percaya. Mustahil anak yang mama kandung, yang mama tatang, belai dengan penuh kasih sayang, akan benci pada mama.

Tak sampai 5 minit, mama nampak abah dan isteri barunya bergerak ke kereta. Waa... naik proton waja. heheheh.. mama dan lawyer mama cuma tersengih. Nak menghebat jugak rupanya, walaupun sekarang dah jadi penganggur terhormat. Hmmm.. tak habis-habis nak menunjuk dengan mama. Kadang-kadang rasa cam perangai budak-budak pulak. Takpe la.. mudah-mudahan Allah murahkan rezeki abah. Jadi boleh lah dia bayar nafkah bulanan anak yang dah 9 bulan dia lupa. dan harap-harap juga, dia masih ingatkan hutang dia yang mama tanggung sebanyak RM500 sebulan. Masuk tahun baru ni genap setahun mama terpaksa bayar untuk abah. Walau apa pun... rezeki di tangan tuhan. Harapan mama moga Allah bukakan pintu rezeki untuk mama besarkan anak-anak mama. Dan setakat hari ni pun, alhamdulillah, rezeki mama tak pernah putus berkat doa ahli keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa di sisi mama.

Amin.....

Rumah baru...

Alhamdulillah... setelah beberapa hari bertungkus lumus, akhirnya dapat juga mama, tok dan adik-adik masuk ke rumah baru. Lega rasanya dapat duduk kat rumah baru ni. Sekurang-kurangnya, rumah ni lebih luas dari rumah kita yang lama. Dan dekat dengan semua kemudahan. Aina dengan iskandar pun seronok kat sini.. sebab ada banyak kucing. heheheh.. Iman pun suka kucing kan, mama rasa kalau Iman ada sama mesti join Aina dengan Adik Isk kejar kucing kat luar rumah. Insyaallah.. masa tu akan sampai tak lama lagi

Kalut dok pindah barang... lupa pulak mama nak tangkap gambar rumah baru kita. Takpa la... nanti mama balik dari outstation mama akan masukkan gambar rumah baru kita... ya.. :) Tapi nanti jangan terkejut pulak... barang-barang mama tak habis kemas lagi. Barang-barang Iman mama letak kat tempat biasa. Baju, buku, mainan semua mama letak dalam satu bilik. Nanti bila Iman balik... senang Iman nak ambil barang-barang Iman.. kan.

Thursday, January 22, 2009

Iman tetap dihati mama...

Semalam, mama ke sekolah iman. Walau mama tahu peluang untuk mendapat semula iman memang tipis tapi mama perlu terus mencuba. Jam 11 pagi, mama berbincang dengan lawyer tentang hak penjagaan iman dan dia bersetuju untuk bersama-sama mama semasa percubaan kali ni. Banyak kata-kata semangat yang mama terima dari keluarga dan kawan-kawan. Berbekalkan semangat itu lah mama teruskan usaha supaya Iman dapat bersatu semula dengan mama dan adik-adik.

Jam 12 tengahari, mama bertolak dari pejabat lawyer. Dalam perjalanan, mama beritahu pada Pak Ndak supaya dapat ke sana, sekurang-kurangnya mama rasa lebih selamat dengan adanya Pak Ndak dengan mama. Kemudian mama ke Balai Polis untuk buat laporan mengenai tujuan mama pada hari itu. Selesai membuat laporan, mama dan lawyer bertolak ke sekolah iman. Sepanjang perjalanan, mama berzikir dan memohon kepada Allah agar segalanya selamat.

Sebelum ke sekolah, mama berjumpa dengan Pak Ndak di simpang jalan berhampiran dengan sekolah. Pak Ndak maklumkan yang motorsikal abah ada di sekolah. Mungkin abah juga ada disana. Mama lihat jam... 2.45 petang. Takkan lah seharian abah menunggu kat sekolah??? Itu bisik hati mama. Tapi mama rasa memang ada kemungkinan sebab sekarang ni abah tak bekerja. Dia dah diberhentikan sejak hujung Disember 2008 lagi. Entah macamana dia nak sara iman dan isteri barunya.

Mama tanya pendapat lawyer... namun katanya, walaupun kemungkinan untuk mendapatkan semula iman, sekurang-kurangnya kita boleh tunjukkan pada mahkamah yang kita telah mencuba sedaya upaya. Tekad dengan keputusan yang dibuat, kami bertiga bergerak ke sekolah.

Masuk saja ke dalam pagar sekolah, mama nampak kelibat abah yang menunggu di kantin. Sebaik dia ternampak Pak Ndak, dia meluru ke arah Pak Ndak dan bila dia nampak mama keluar dari kereta, dia terus meluru ke kelas iman. Mama tahu dia akan berusaha keras agar mama tak dapat berjumpa dengan Iman. Mama masuk ke pejabat dan maklumkan yang mama nak berjumpa dengan Guru Besar. "Guru Besar keluar sekejap, nanti saya panggilkan penyelia petang." Mama dan lawyer dijemput ke bilik penyelia petang. Lepas 5 minit, penyelia petang tiba. Mama jelaskan padanya, tujuan mama datang adalah untuk melaksanakan perintah mahkamah iaitu mendapatkan semula iman dibawah jagaan mama. Namun penyelia petang maklumkan yang keputusan hanya di tangan Guru Besar.

Dia menjemput kami ke bilik menunggu. Ketika mama dan lawyer berjalan ke arah ruang menunggu, mama nampak kelibat Tok Wan yang dah tiba dengan kayu ditangan. Bersama-samanya, ada 4-5 orang lagi yang mama tak kenali. Mama kuatkan hati dan terus berdoa agar Allah melindungi kami semua. "Nak apa ni??" sergah abah bila dia masuk ke ruang menunggu. Lawyer mama bangun dan memperkenalkan dirinya sebagai lawyer yang mewakili mama.

Abah :"Saya ada surat untuk batalkan perintah mahkamah tu."
Lawyer : "Maaf ya encik, tak ada lagi perintah yang membatalkan perintah mahkamah ni."
Abah : "Lawyer saya dah hantar surat untuk batal. Nanti lawyer saya datang."
Lawyer : "Encik, perintah mahkamah hanya boleh dibatalkan dengan perintah. Surat yang encik hantar tu hanya permohonan sahaja. Masih belum ada perintah dikeluarkan oleh mahkamah."

Abah terus keluar dari ruang menunggu tu. Setibanya Guru Besar ke sekolah, mama dan lawyer dijemput masuk kebiliknya. Abah juga dijemput masuk. Mama terangkan pada Guru Besar tujuan mama kesana adalah untuk mengambil Iman. Mama tunjukkan juga perintah mahkamah kepadanya.

GB : "Maaf puan, saya tak dapat serah anak pada puan. Walaupun dengan perintah mahkamah, Iman didaftarkan oleh ayahnya. Jadi saya akan serahkan Iman semula pada ayahnya. Saya harap hal ini boleh diselesaikan cara baik. "
Mama : "Tapi cikgu, saya dah dapat perintah mahkamah. Hak penjagaan Iman pada saya."
Abah : "Boleh tak jangan dok melawan. Awak tu bukannya adak kat ofis awak. Toksah dok tunjuk pandai kat sini."
GB : "Macamni lah. Saya lepaskan iman balik sekarang. Harap boleh bincang luar kawasan sekolah. Hal ini hal peribadi. Jadi saya minta agar jangan libatkan pihak sekolah."
Abah : "Tak boleh. Anak saya kena sekolah. Saya tak mau dia balik awal. Dia kena sekolah. Bukannya macam mak dia. Bawak anak ke kl sampai dia tak pi sekolah."
GB : " Kalau macam tu, puan kena tunggu sampai tamat waktu sekolah."
Mama : "Macam ni lah cikgu, saya tahu bila Iman keluar dari sekolah ja, saya memang tak ada peluang untuk berjumpa iman. Boleh tak saya minta jasa baik cikgu, agar panggil anak saya ke sini sekarang. Sekurang-kurangnya bagi lah saya jumpa dengan dia. Sekejap pun takpa."
Abah : "Tak boleh. Saya tak benarkan."
GB : "Maaflah puan. Saya tak nak perkara buruk terjadi."
Mama : "Kalau macam tu takpa lah cikgu. Saya faham situasi cikgu sekarang. Maaflah sebab menyusahkan cikgu dalam hal ni."

Abah pun keluar meluru keluar dari bilik Guru Besar. Guru Besar iringi mama sampai ke muka pintu biliknya. Dia minta maaf sebab tak mampu buat apa-apa.

Mama : "Takpa lah cikgu, saya faham. Cuma saya harap, cikgu tak rasa terganggu kalau saya call ke sekolah untuk tanya pasal Iman."
GB : " Insyaallah. Pasal tu Hani jangan risau. Saya akan tolong setakat yang saya mampu. Pasal iman, insyaallah saya akan selalu tengok-tengokkan dia. Beri lebih perhatian pada dia. Hani cubalah bincang cara baik dengan abah dia. Sekarang ni tengah tegang. Mungkin lepas seminggu lagi dia ok."
Mama : "Entah lah cikgu, saya dah cuba bincang cara baik. Ini kali ke-4 saya mencuba. Malah dulu saya tunggu lebih 2 bulan untuk minta semula dengan dia tapi dia masih berkeras. Malah tak benarkan langsung saya jumpa dengan Iman."

Mama dimaklumkan yang memang abah menunggu iman setiap masa di sekolah. Sebelum pulang, mama minta nak menjenguk iman dikelas. Namun Guru Besar menghalang memandangkan abah, tok wan dan kawan-kawannya menunggu disekitar sekolah dengan kayu di tangan. Mama masuk semula ke kereta... dan bertolak balik.

Walaupun mama pulang tanpa menatap wajah iman, mama tahu iman sentiasa ada dengan mama. Sentiasa di dalam hati mama..........

Sunday, January 18, 2009

Iman... pergi sekolah tak hari ni????

Dari pagi mama asyik teringatkan iman. Pergi ke sekolah tak iman hari ni? Minggu lepas cikgu iman kata dah seminggu iman tak ke sekolah. Mama harap tak ada perkara yg buruk berlaku pada iman. mama cuba call cikgu iman tapi dia sedang mengajar dalam kelas...

Iman.. mama doakan iman selamat dan boleh tumpu pada pelajaran...

Jalan-jalan hari minggu

Semalam, mama bawak Aina, Adik Is dan tok ke pekan Jitra. Mula-mula tu ingat nak pi tengok wayang tapi takdak cerita yang sesuai... Jadi kami pun jalan-jalan pusing pekan jitra tu. Happy betul Aina dengan Adik Is.
Mula-mula mama bawak pi makan western food. Order chicken chop dengan spaggeti. Teringat mama kat iman. Iman memang suka makan spaggeti yang mama masak. Kadang-kadang iman tolong masak dengan mama :)

Lepas makan, mama pergi cari baju untuk adik Is dan Aina. Aina sekarang ni dah gemuk.... habis semua seluar dia ketat, jadi kena la mama cari seluar lain untuk dia. Pusing-pusing sampai malam, kami pun bertolak balik rumah...

Dalam kereta, aina dengan adik Is dok berebut makan donut chocolate sambil dengar radio. Tetiba DJ mainkan satu lagu yang buatkan mama dan adik-adik terus ingat pada Iman.
"Mama.... lagu abang iman....." Adik-adik pun nyanyi sama-sama
"Aku memang pencinta wanita... namun ku bukan buaya..." Memang itu lagu favourite iman. Malah iman selalu nyanyi lagu tu masa kat umah.
Insyaallah... iman, mama sedang usahakan untuk dapatkan semula iman. Mama harap tak lama lagi kita akan bersama.

Wednesday, January 14, 2009

Mama.. aina nak cakap dengan abang iman

Pagi ni... seperti biasa mama bangun dan kejutkan Aina dan Adik Is bersiap ke sekolah. Masa tengah iron baju sekolah aina, tiba-tiba aina minta pada mama...

"Mama... aina nak cakap dengan abang iman. Boleh tak mama?"

Mama tersentak. Apa yang mampu mama buat? Dah banyak kali mama cuba call abah tapi tak pernah dia angkat. Mungkin dia ingat mama cuba mengganggu hidup dia yang sedang dibuai bahagia.

"Ok. Aina tunggu jap, mama ambil handphone." Aina tersenyum.
"Bila mama kata ok... aina cakap dengan abang iman ya...." Nanti mama bagi abang iman tengok apa yang aina kata. Mama pun mula rakam.....

Macamama iman di sekolah baru???

Semalam, seharian mama cuba nak menjejaki iman. Hati mama asyik teringatkan iman dan risaukan pelajaran iman. Ntah macamana iman ke sekolah, dah ada kawan baru kah? Macamana emosi iman sekarang ni? Mampukah iman tumpu pada pelajaran? Semua tu bermain dalam kepala mama.

Akhirnya mama mula mencari no telefon sekolah iman. Bermula dengan mencari no telefon pejabat pendidikan daerah kulim, mama dapatkan no telefon sekolah iman. Mama maklumkan pada pihak sekolah yang mama nak bercakap dengan guru kelas iman. No telefon mama, mama tinggalkan dengan pihak sekolah. Setelah berjam menunggu akhirnya mama tidak mampu menahan perasaan, mama hubungi semula pihak sekolah.
Nasib mama baik, Guru Besar sekolah yang menjawab panggilan mama. Mama maklumkan situasi iman padanya dan berharap pihak sekolah akan lebih prihatin terhadap keadaan iman. Setelah berbual dengan Guu Besar, mama bercakap pula dengan Guru Kelas Iman dan bertanya situasi iman.

"Ya. Saya perasan iman di kelas. Dia tak banyak bercakap. Selalu main sorang-sorang. Dalam kelas, fikiran iman macam melayang-layang. Minggu ni dia langsung tak datang ke kelas. Saya risau juga." Itu lah kata-kata guru kelas iman. Hati mama tak tenteram. Sakitkah anak mama? Kenapa sampai seminggu tak ke sekolah? Macamana pelajaran iman nanti?

Mama maklumkan juga pada cikgu iman yang iman dah lama tak bersekolah sejak dilarikan oleh abah. Malah iman tak ambil peperiksaan akhir tahun jadi, mungkin iman dah banyak ketinggalan dalam pelajaran. Mama harap guru iman akan beri lebih perhatian pada iman.

Iman.. mama harap sangat iman cepat-cepat balik ke pangkuan mama. Mama tak sanggup masa depan iman rosak. Iman anak yang pandai, dan mendengar kata. Mama yakin dengan bimbingan yang baik iman mampu berjaya.

Monday, January 12, 2009

Adik mimpi abang iman...

9 Januari 2009, 6.00 petang.

Adik is asyik menangis sejak bangun tidur. Mama pun tak tahu kenapa. Mama peluk adik Is, tapi adik Is tak berhenti menangis juga. "Kenapa adik nangis ni, sayang?" Dan adik jawab..... "Adik rindu abang iman.......". Apa yang patut mama jawab ???? Apa yang mampu mama buat ???? Semoga abang iman cepat-cepat balik ke pangkuan mama dan adik..

Dialog dalam video :

-----------------------------------------------------------------------------

Aina : abang iman pegang tangan aina. Aina lari. Lepas tu aina bawa lari abang iman. Aina mimpi pasal abang iman.

Mama : Adik??

Aina : Adik mimpi pasal abang iman satu saja kan..

Adik Is : Tak. Banyak.

Mama : Adik mimpi apa?

Adik Is : Mimpi abang iman la.. banyak....

Mama : Abang iman buat apa??

----------------------------------------------------------------------------------

Google abang iman


Semalam, adik Is jumpa google abang iman ni. Ntah mana dia cari.. tiba-tiba ja dia suruh mama betulkan google abang iman yang dah terkeluar tali. Mama betulkan balik dan bagi dia pakai.

"Ni abang punya kan mama... nanti abang balik kita pi mandi kolam ya mama. Adik nak mandi ngan abang Iman." Macam tu lah Iskandar tiap-tiap hari. Ada saja benda yang ingatkan dia pada Iman.


Mama ingat lagi, google ni mama beli kat abang iman masa kita pergi Genting Highland dulu. Nanti, kalau ada kesempatan mama akan bawak Iman, Aina, Adik Is dan tok pergi lagi. Insyaallah......

Wednesday, January 7, 2009

Laksa.. nyum nyum




Hari ni tok masak laksa. Sedap..... tengokla camana adik Is dengan aina makan. Iman pun suka makan laksa kan. Mama ingat lagi, kalau mama buat laksa, iman mesti makan sampai 2-3 pinggan. Nanti bila iman balik, mama akan masak laksa untuk iman... ye sayang.


Tuesday, January 6, 2009

Mama rindu iman...

Salam sayang,

Hari ni, bermaksud masuk hari ke 87 mana tak dapat berjumpa dengan iman. Macamana agaknya iman sekarang? Mama harap walau dimana pun iman, Allah akan sentiasa menjaga dan melindungi iman sebaiknya. Sejak 13 Oktober 2008, hari abah melarikan iman dari jagaan mama, tak pernah sehari pun mama lupa untuk mendoakan semoga iman dapat pulang ke pangkuan mama dan adik-adik secepat mungkin. Kami sentiasa rindukan Iman.

Dah berkali-kali mama cuba untuk berjumpa dengan iman. Kali pertama, mama pergi ke rumah tokwah pada 16hb Oktober 2008 jam 12.30 tengahari. Mama tahu iman mesti ada kat sana. Abah takkan tinggalkan iman kat tempat lain selain dari rumah maknya sendiri. Tapi kehadiran mama disambut dengan kayu oleh tokwan. Mama, pakndak dan uncle Hairy dihalau dengan kayu dan maki hamun. Malah tokwan dakwa mama menceroboh ke dalam rumah tokwan. Tok pah larikan iman ke dalam billik lain. Salahkah mama nak berjumpa dengan Iman, setelah 4 hari mama iman dilarikan dari mama?

Namun mama tak putus asa. Pak Su bawa mama jumpa dengan kawannya yang tinggal di Kulim. Kebetulan kawan Pak Su kenal dengan ketua kampung kat rumah tok wan. Jadi mama minta jasa baik ketua kampung agar ikut sama ke rumah tok wan. Harapan mama dengan adanya ketua kampung, tokwan akan benarkan mama jumpa dengan Iman. Tapi, oleh sebab hari dah malam dah mama, Pak Ndak, Pak Su dan Uncle Hairy dah keletihan kerana seharian berusaha nak berjumpa dengan Iman, Ketua kampung nasihatkan kami datang semula keesokan paginya.

17hb Oktober 2008 jam 9 pagi, mama bertolak ke rumah ketua kampung dengan Pak Su dan Pak Ndak. Setelah tiba di sana, ketua kampung dan isterinya dah bersiap nak pergi ke rumah tokwan. Namun dia minta mama biar dia yang pergi dulu dan mama menyusul 5 minit kemudian. Setibanya dirumah tokwan, mama nampak tokwan sedang bercakap-cakap dengan ketua kampung diluar rumah, dan abah ada di pintu rumah. nampak sahaja kelibat mama, abah terus masuk ke dalam rumah. Mama kuatkan hati memberi salam dan bersalam dengan tokwan. Tangan mama disambut dingin malah tokwan berpaling ke arah lain.

Mama duduk di kerusi yang berdepan dengan pintu rumah. Sambil mendengar tokwan memarahi mama, mama katakan mama datang nak berjumpa dengan iman dan risau dengan keadaan iman sebab dah beberapa hari tak bersekolah. Tiba-tiba mama nampak kelibat abah yang datang memegang sebatang kayu. Dia terus datang dan...'paanggggggg' menampar muka mama. Dengan perasaan takut mama lari keluar dari kawasan rumah dan masuk ke dalam kereta. Tak perlulah mama ceritakan apa yang dikatakan oleh abah. Cukuplah segalaapa yang abah katakan, mama simpan dalam hati mama.

Pada waktu itu mama tahu, tokwan, tok dan abah takkan benarkan mama jumpa iman walau apa pun alasannya. Jadi mama cuba menggunakan peguam. Setelah berbincang dengan peguam, mama akan dapatkan hak penjagaan untuk menjaga iman, aina dan iskandar. Mama yakin, sekiranya dikira dari segi kemampuan, mama memang mampu dan lebih layak untuk menjaga iman. Jadi mama perlu bersabar menunggu tarikh perbicaraan.

22 Oktober 2008, oleh kerana perasaan rindu yang teramat sangat, mama kuatkan hati untuk menelefon tok pah dan bercakap dengan iman. Hilang perasaan rindu mama bila mendengar suara iman. Walaupun cuma sempat mendengar suara iman untuk 2 minit, itu sudah cukup menggembirakan mama. Keesokan harinya mama call lagi, namun panggilan mama tak dijawab.
Berkali-kali mama menelefon tapi tak siapa yang menjawap panggilan. Mama dapat rasakan yang mereka sengaja tak jawab telefon bila no telefon mama keluar di skrin handphone tok pah. Mama semakin risaukan iman sebab iman dah 2 minggu tak bersekolah dan tak lama lagi peperiksaan akhir akan mula.

3 November 2008 - Hari perbicaraan untuk hak penjagaan sementara iman, aina dan iskandar. Alhamdulillah, hak penjagaan sementara untuk iman, aina dan iskandar berpihak pada mama. Mama rasa amat bersyukur sebab mama akan berjumpa dengan iman tak lama lagi.

Awal pagi 17 November 2008, mama bersiap untuk mengambil iman. Mama masukkan baju 'Ben 10' kegemaran iman ke dalam beg. mama tau iman sayang sangat dengan baju tu. Mula-mula mama ke balai polis untuk buat laporan yang mama ke akan rumah tokwan dengan Pak Su untuk mengambil iman. 3 orang polis ikut mama agar tak ada kejadian buruk yang terjadi. Mama bagi salam berkali-kali. Walaupun tokwan ada kat depan tv tapi sengaja dia tak menjawab. Melalui pintu grill, mama beritahu pada tokwan yang mama dah dapat hak penjagaan iman secara sah dan minta dia benarkan mama mengambil iman. Namun yang mama terima cuma maki hamun dari tokwan. Mama merayu... sekurang-kurangnya berilah mama peluang jumpa dengan iman. Tapi tak ada belas kasihan dari tokwan terhadap mama dan mama pulang dengan hampa. Mama cuma mampu memeluk baju 'Ben 10' iman.

Balik ke rumah, aina dan iskandar terus bertanya pasal iman. " Mana abang mama? Mama kata nak ambil abang." Mama tak sampai hati nak beritahu aina dan iskandar yang iman tak dapat jumpa dengan aina dan iskandar. "Abang kena sekolah jauh. Cikgu tak bagi abang balik lagi." Itu saja yang mampu mama beritahu. Nampak kesedihan di wajah aina dan iskandar.

Iman tahu tak, setiap kali mama belikan coklat pada aina dan iskandar, depa akan simpan satu untuk iman. "Mama yang ni abang punya, mama tolong simpan tau." Betapa rindunya aina dan iskandar pada iman. Dan setiap kali iskandar bergaduh dengan aina, dia akan menangis dan kata "Adik nak pi kat abang iman." Apa lagi yang mampu mama kata pada adik melainkan mama janji yang mama akan bawa dia jumpa dengan iman.

8 Disember 2008, Hari Raya Haji. Mama pandang pada baju raya iman yang mama belikan untuk Hari Raya Puasa lepas. Adik-adik asyik bertanya sebab apa Iman tak ada untuk beraya sama-sama. Untuk sedapkan hati, mama janji ngan adik yang mama akan call Iman dan bagi adik cakap dengan Iman. Malam tu, mama call abah dan minta untuk bercakap dengan iman. Abah katakan yang abah ada kat luar, dan minta mama call semula. lepas sejam mama call balik tapi tak diangkat. mama call berkali-kali tapi tak diangkat juga. Jam 9.00 malam abah hantar sms pada mama yang iman dah tidor dan minta mama call lain kali. mama balas semula sms abah, minta abah benarkan iman cakap ngan adik-adik sebab adik rindu sangat kat iman. Tapi abah minta mama jangan ganggu abah, iman dan mama baru iman. Esoknya mama call lagi, tapi panggilan tak diangkat. Seharian mama mencuba tapi tak berjaya.

Mama tak akan putus asa untuk mencuba. Rindu mama dan adik-adik pada iman takkan hilang. Minggu ni dah mula sesi persekolahan, mama harap iman tumpukan perhatian pada pelajaran. Mama tak nak pelajaran iman terganggu. Insyaallah.. dengan izin Allah kita akan bertemu juga. Salam sayang dari mama buat Iman.
 
Dear Diary Blogger Template