Thursday, January 22, 2009

Iman tetap dihati mama...

Semalam, mama ke sekolah iman. Walau mama tahu peluang untuk mendapat semula iman memang tipis tapi mama perlu terus mencuba. Jam 11 pagi, mama berbincang dengan lawyer tentang hak penjagaan iman dan dia bersetuju untuk bersama-sama mama semasa percubaan kali ni. Banyak kata-kata semangat yang mama terima dari keluarga dan kawan-kawan. Berbekalkan semangat itu lah mama teruskan usaha supaya Iman dapat bersatu semula dengan mama dan adik-adik.

Jam 12 tengahari, mama bertolak dari pejabat lawyer. Dalam perjalanan, mama beritahu pada Pak Ndak supaya dapat ke sana, sekurang-kurangnya mama rasa lebih selamat dengan adanya Pak Ndak dengan mama. Kemudian mama ke Balai Polis untuk buat laporan mengenai tujuan mama pada hari itu. Selesai membuat laporan, mama dan lawyer bertolak ke sekolah iman. Sepanjang perjalanan, mama berzikir dan memohon kepada Allah agar segalanya selamat.

Sebelum ke sekolah, mama berjumpa dengan Pak Ndak di simpang jalan berhampiran dengan sekolah. Pak Ndak maklumkan yang motorsikal abah ada di sekolah. Mungkin abah juga ada disana. Mama lihat jam... 2.45 petang. Takkan lah seharian abah menunggu kat sekolah??? Itu bisik hati mama. Tapi mama rasa memang ada kemungkinan sebab sekarang ni abah tak bekerja. Dia dah diberhentikan sejak hujung Disember 2008 lagi. Entah macamana dia nak sara iman dan isteri barunya.

Mama tanya pendapat lawyer... namun katanya, walaupun kemungkinan untuk mendapatkan semula iman, sekurang-kurangnya kita boleh tunjukkan pada mahkamah yang kita telah mencuba sedaya upaya. Tekad dengan keputusan yang dibuat, kami bertiga bergerak ke sekolah.

Masuk saja ke dalam pagar sekolah, mama nampak kelibat abah yang menunggu di kantin. Sebaik dia ternampak Pak Ndak, dia meluru ke arah Pak Ndak dan bila dia nampak mama keluar dari kereta, dia terus meluru ke kelas iman. Mama tahu dia akan berusaha keras agar mama tak dapat berjumpa dengan Iman. Mama masuk ke pejabat dan maklumkan yang mama nak berjumpa dengan Guru Besar. "Guru Besar keluar sekejap, nanti saya panggilkan penyelia petang." Mama dan lawyer dijemput ke bilik penyelia petang. Lepas 5 minit, penyelia petang tiba. Mama jelaskan padanya, tujuan mama datang adalah untuk melaksanakan perintah mahkamah iaitu mendapatkan semula iman dibawah jagaan mama. Namun penyelia petang maklumkan yang keputusan hanya di tangan Guru Besar.

Dia menjemput kami ke bilik menunggu. Ketika mama dan lawyer berjalan ke arah ruang menunggu, mama nampak kelibat Tok Wan yang dah tiba dengan kayu ditangan. Bersama-samanya, ada 4-5 orang lagi yang mama tak kenali. Mama kuatkan hati dan terus berdoa agar Allah melindungi kami semua. "Nak apa ni??" sergah abah bila dia masuk ke ruang menunggu. Lawyer mama bangun dan memperkenalkan dirinya sebagai lawyer yang mewakili mama.

Abah :"Saya ada surat untuk batalkan perintah mahkamah tu."
Lawyer : "Maaf ya encik, tak ada lagi perintah yang membatalkan perintah mahkamah ni."
Abah : "Lawyer saya dah hantar surat untuk batal. Nanti lawyer saya datang."
Lawyer : "Encik, perintah mahkamah hanya boleh dibatalkan dengan perintah. Surat yang encik hantar tu hanya permohonan sahaja. Masih belum ada perintah dikeluarkan oleh mahkamah."

Abah terus keluar dari ruang menunggu tu. Setibanya Guru Besar ke sekolah, mama dan lawyer dijemput masuk kebiliknya. Abah juga dijemput masuk. Mama terangkan pada Guru Besar tujuan mama kesana adalah untuk mengambil Iman. Mama tunjukkan juga perintah mahkamah kepadanya.

GB : "Maaf puan, saya tak dapat serah anak pada puan. Walaupun dengan perintah mahkamah, Iman didaftarkan oleh ayahnya. Jadi saya akan serahkan Iman semula pada ayahnya. Saya harap hal ini boleh diselesaikan cara baik. "
Mama : "Tapi cikgu, saya dah dapat perintah mahkamah. Hak penjagaan Iman pada saya."
Abah : "Boleh tak jangan dok melawan. Awak tu bukannya adak kat ofis awak. Toksah dok tunjuk pandai kat sini."
GB : "Macamni lah. Saya lepaskan iman balik sekarang. Harap boleh bincang luar kawasan sekolah. Hal ini hal peribadi. Jadi saya minta agar jangan libatkan pihak sekolah."
Abah : "Tak boleh. Anak saya kena sekolah. Saya tak mau dia balik awal. Dia kena sekolah. Bukannya macam mak dia. Bawak anak ke kl sampai dia tak pi sekolah."
GB : " Kalau macam tu, puan kena tunggu sampai tamat waktu sekolah."
Mama : "Macam ni lah cikgu, saya tahu bila Iman keluar dari sekolah ja, saya memang tak ada peluang untuk berjumpa iman. Boleh tak saya minta jasa baik cikgu, agar panggil anak saya ke sini sekarang. Sekurang-kurangnya bagi lah saya jumpa dengan dia. Sekejap pun takpa."
Abah : "Tak boleh. Saya tak benarkan."
GB : "Maaflah puan. Saya tak nak perkara buruk terjadi."
Mama : "Kalau macam tu takpa lah cikgu. Saya faham situasi cikgu sekarang. Maaflah sebab menyusahkan cikgu dalam hal ni."

Abah pun keluar meluru keluar dari bilik Guru Besar. Guru Besar iringi mama sampai ke muka pintu biliknya. Dia minta maaf sebab tak mampu buat apa-apa.

Mama : "Takpa lah cikgu, saya faham. Cuma saya harap, cikgu tak rasa terganggu kalau saya call ke sekolah untuk tanya pasal Iman."
GB : " Insyaallah. Pasal tu Hani jangan risau. Saya akan tolong setakat yang saya mampu. Pasal iman, insyaallah saya akan selalu tengok-tengokkan dia. Beri lebih perhatian pada dia. Hani cubalah bincang cara baik dengan abah dia. Sekarang ni tengah tegang. Mungkin lepas seminggu lagi dia ok."
Mama : "Entah lah cikgu, saya dah cuba bincang cara baik. Ini kali ke-4 saya mencuba. Malah dulu saya tunggu lebih 2 bulan untuk minta semula dengan dia tapi dia masih berkeras. Malah tak benarkan langsung saya jumpa dengan Iman."

Mama dimaklumkan yang memang abah menunggu iman setiap masa di sekolah. Sebelum pulang, mama minta nak menjenguk iman dikelas. Namun Guru Besar menghalang memandangkan abah, tok wan dan kawan-kawannya menunggu disekitar sekolah dengan kayu di tangan. Mama masuk semula ke kereta... dan bertolak balik.

Walaupun mama pulang tanpa menatap wajah iman, mama tahu iman sentiasa ada dengan mama. Sentiasa di dalam hati mama..........

6 comments:

  1. salam hani..
    ya Allah,sampai macam tu sekali bencinya ex awak pd awak.kesian iman.mesti dia terganggu.
    saya rasa iman kat rumah mesti x selesa ngan sikap ayahnya..teruskan berusaha dan berdoa.
    doa org teraniaya lebih afdal..semoga ada pelangi di hujung sana

    ReplyDelete
  2. Insyaallah, semangat untuk berusaha tak pernah padam. Saya yakin ada pelangi selepas hujan dan ada hikmah disebalik semua kejadian. Semoga pengalaman hidup saya menjadi panduan kepada yang lain.

    ReplyDelete
  3. Apabila nafsu menjadi nahkoda, syaitan akan menguasai...apabila darjat akal direndahkan, martabat akan hilang..

    maka, rugilah org yang tidak bertaqwa

    sabarnya...sesungguh ada pemandangan indah disebalik gunung yg curam...

    ada hikmah yang baik kenapa Iman tidak diketemukan kepada ibunya, kepada adik-adiknya

    ReplyDelete
  4. Salam,
    terpanggil utk hop ke blog ini kerana "Iman" juga nama anak sy..
    sbg ibu..sy memahami..d samping berdoa agar segalanya akan berakhir dgn baik..senjata yg paling sesuai tika ini adalah kesabaran dan tawakal..

    ReplyDelete
  5. Insyaallah... pengalaman mengajar erti ketabahan dan kesabaran. Semoga hati yang sentiasa teruji akan menjadi lebih kental untuk menghadapi apa jua rintangan.

    ReplyDelete

 
Dear Diary Blogger Template