Saturday, February 28, 2009

Doa mama untuk iman...

Leganya... finally lepas jugak exam yang ditunggu-tunggu. Semalaman mama tak tidor sebab siapkan assignment lepas tu study untuk mid-term exam pagi tadi. Macamana dengan Iman? Susah tak exam kali ni? Mama harap abah, tok dan tokwan bantu Iman study. Selalunya, masa Iman tinggal dengan mama, sebelum exam mama akan buat rivision sama-sama dengan Iman. Lepas tu mama suruh iman buat latihan soalan-soalan peperiksaan. Sekarang ni, mama cuma boleh doakan dari jauh ja. Tapi Iman jangan risau, mama akan sentiasa doakan kejayaan Iman.

Balik dari kelas, Adik Is duduk sorang-sorang kat kawasan depan rumah. Termenung ja dia... hairan mama tengok dia. "Adik.. pasaipa dok luar sorang-sorang ni?" Mama tengok muka dia sedih ja. "Aina takmo kawan ngan adik. Dia asyik kawan ngan shasha ja. Adik nak kawan dengan abang iman....." Laaaa.... dok teringat kat Iman rupanya. Kesian mama tengok dia. Mama peluk dia, terus dia nangis. "Nanti kita bawa abang balik rumah kita naaa.." Apa lagi yang mama mampu kata pada dia. Kalau la abah boleh faham.....

Esok mama akan ke KL. Ada meeting hari isnin dan selasa. Insyaallah selasa malam mama akan balik dari KL. Berdebar mama nak tunggu hari perbicaraan Iman hari rabu ni. 4 Mac 2009 pukul 8.30 pagi. Kali ni harap-harap boleh mula perbicaraan.. sebab sebelum ni asyik delay ja sebab abah tak datang ke mahkamah.

Ok la iman.. mama nak tidur dulu. Harap Allah kirimkan peluk cium mama untuk Iman.. mmmuuaaaaaaaaa

Wednesday, February 25, 2009

Jom Layan Upin & Ipin

Dah lama mama janji nak bawak aina dan adik is tengok wayang upin & ipin. Semalam baru dapat kesempatan. Tiap-tiap kali balik sekolah aina akan tanya... "Mama, bila kita nak g tgk upin & ipin." Kat sekolah dia, semua budak-budak dok bercerita pasal Upin Ipin. jadi, balik dari mahkamah, terus mama pergi beli tiket.... ye la dah dekat kan. Lepas beli tiket terus mama call tok suruh semua org standby siap-siap. Mama drive balik rumah, tukar baju then teruss..... kami keluar. Terlompat-lompat aina dengan adik is dalam kereta. tak sabar nak g tgk wayang. Sampai kat Mall, aina & adik Is tak sabar-sabar dah nak masuk. Kami sampai awal 15 minit jadi masa masuk tu panggung cerah lagi. Kiranya.. aina dengan adik Is memang excited sangat-sangat. "Bila nak start ni mama? Lambat la..." aina asyik mengomel. "Mama... kita nak tenok upin ipin te?..." ngomel adik Is lak dalam bahasa pelat dia.

Tiba-tiba bilik jadi gelap. Dan wayang pun dipasang. "Laa... sapa tutup lampu ni? Buka la balik." Ishhh.. aina ni buat malu company ja. Dah la suara dia kuat. satu wayang dengar. Mama bagitau dia, dalam wayang memang kena tutup lampu.... Baru dia paham. So the story began.. Iman nak tau ka apa ceritanya???? OK la, mama story ok.. :)

Kisah upin ipin ni, pasal kes hantu durian kat satu kampung yang penuh dengan dusun durian. Kononnya durian kat kampung tu selalu kena makan dengan binatang/benda yang pelik. Tapak kaki dia kecik ja dengan 3 jari yang panjang-panjang. Jadi orang kampung percaya ada hantu durian kat situ.

Badrol ajak Lim balik kampung dia kat situ... tokwan dia ada dusun durian. Sampai kat kampung tu depa tanya jalan nak pi rumah tok wan dia.... nama tok dalang. Upin Ipin la yang bawak diorang pi sana.. Sampai kat rumah tok dalang, depa bawak motor tok dalang pi racing dalam kampung.... Masa tengah dok syok racing.. tiba-tiba nak terlanggar rajoo dengan lembu dia.

Rajoo ni pandai cakap dengan lembu dia. Lembu dia pun paham apa dia cakap. Dia kata.. dia paham semua apa yg binatang cakap. Kononnya la... OK sambung cerita balik. Rajoo marah sangat sebab dia terjatuh dalam sungai bila nak bertembung dengan motor Lim. Jadi dia mintak gantirugi radio dia yang rosak bila masuk dalam sungai... Oleh sebab tak tahan dengar Rajoo nangis, diorang janji nak bagi dia pinjam radio Lim esok pagi.

Rupa-rupanya pukul 4 pagi si Rajoo dah standby depan rumah tok dalang. Tok Dalang minta rajoo bawak diorang pergi dusun durian. Dengan suka hati dia ajak Badrol dengan Lim naik keta lembu dia... haa.. lupa mama nak bagitau lembu dia nama sapi. Hehehhehe.. cam minyak sapi lak. On the way.. Upin Ipin tahan diorang... roadblock la kononnya... Diorang scan abis si sapi tu kot-kot bawak bahan merbahaya... :) Bila Upin Ipin tau diorang nak pi dusun.. terus ja Upin Ipin melompat naik atas keta lembu tu.
Sampai kat sana... si Lim yang tak pernah tengok dusun durian terpegun dengan penuhnya buah-buah durian atas pokok.. Apa lagi.. dia pun mula nak panjat pokok, konon nak petik buah durian la.. Buat malu ja.... kena gelak dengan Upin Ipin. Lama diorang tunggu buah durian.. tak jatuh-jatuh.

Tiba-tiba Upin Ipin nampak ada satu binatang ganjil....

Ha... kalau nak tau binatang apa, kena tunggu mama sambung esok. Sekarang ni dah tengah malam, mama nak sambung buat assignment.. hehehehhe... jangan marah aaa. Esok pagi mama nak kena hantar ni.. dah tu ada exam pulak tu ..

OK sayang... belajar rajin-rajin. Mama tau anak mama memang pandai. Kawan mama I kata sekarang ni tengah musim exam. Mama doakan kejayaan Iman. Bila iman balik nanti mama bawak iman, aina ngan adik Is tgk wayang.. ok? Cayang bucuk mama.. Rindu sangat nak peluk Iman.... Salam sayang dari mama mmuaaaaaaaaaaaa.

Sepetang di mahkamah rendah syariah....

25 Februari 2009 :
2.15 petang - Mama tiba di hadapan mahkamah rendah syariah. Suasana sekitar mahkamah sunyi cuma ada 2 orang lelaki menunggu di luar kawasan mahkamah. Mama tercari-cari wajah-wajah yang mama kenal. Tak nampak pun bayang abah atau lawyer mama. Mama tunggu dalam kereta sambil berzikir minta pertolongan dan perlindungan dari Allah.

2.30 petang - Mama bergerak ke dalam mahkamah. Cuma ada sepasang pasangan yang menunggu dalam dewan mahkamah. Sorang duduk timur sorang duduk barat. Hmmm.. entah kes apa la agaknya. Kedua-duanya kelihatan masih amat muda mungkin pertengahan 20-an. Mama masuk dan duduk di barisan kedua dewan. Sambil menunggu mama sms pada lawyer mama... takut dia lupa pulak yang kes mama akan dibentang pada hari ni. Di maklumkan yang dia dalam perjalanan. Hmmm.. lega hati mama.

Tiba-tiba pintu dewan terbuka dan nampak wajah abah dimuka pintu. Berkemeja merah hari, seluar slack dan bersongkok. Meremang bulu roma mama bila nampak dia. Hati berdebar-debar. Dada jadi penuh dan tangan mama terasa sejuk. Hmmm... sebab apa la sampai macam ni. Mama teruskan berzikir dan baca doa-doa untuk pelindung diri. Abah masuk dan duduk di barisan belakang dewan. Lepas beberapa minit perasaan mama tenang semula. Fikiran pun dah stabil. Alhamdulillah....

Lepas beberapa minit lawyer mama sampai. Dia tersenyum tengok mama. "Dia tak mai ka?" Mama berpaling ke belakang dan bila lawyer mama nampak abah dia tersenyum. "Haa... baguslah dia dok ada." Lawyer mama masuk dan duduk di bahagian hadapan dewan, barisan untuk lawyer-lawyer.

Jarum jam terus berdetik, seorang demi seorang dipanggil oleh hakim untuk masuk ke bilik hakim. Dua orang wanita separuh umur masuk ke dalam dewan dan duduk di sebelah mama. Dia cuma tersenyum.. "Adik ada pen?" sapa wanita tu. "Ada." jawab mama pendek dan mama berikan pada dia pen yang ada di tangan mama. "Adik ada kes apa hari ni?" Tanya wanita tu dengan ramah. "Nafkah Eddah. Akak ada kes apa?"

"Akak nak sahkan cerai. Laki akak ada kat belakang tu... Dia ada hantar sms kata dia ceraikan akak." Hmmm... mama pandang lelaku tu. Nampak dah berumur, mungkin hanpir 50-an. "Akak ada anak?" Tanya mama untuk kepastian. "Ada. 5 orang. Semua akak tinggal dengan dia. gatal sangat nak kawin lain. Biar dia jaga semua anak. Padan muka dia. Nanti senang-senang akak pi la tengok. Dah tua-tua pun gatai lagi. Tak sedar diri tu dah bercucu. 26 tahun kami kawin, tak sangka dia sanggup buat macam ni."

Hmmm... macam-macam perangai lelaki zaman sekarang ni. Terdetik di hati mama, sanggupkan mama buat macamana wanita tu buat? Tinggalkan semua anak dengan bekas suami dan biar dia dengan bini barunya yang bersusah payah jaga anak. Biar diorang tahu susah payah nak membesarkan anak. Tapi mama tak sampai hati. Iman, aina dan iskandar jantung hati mama. Biarlah mama susah tapi takkan berpisah dengan anak-anak mama. Mama tak boleh hidup tanpa anak-anak mama.

Kalau ikutkan perasaan marah, mama tinggalkan saja Iman, Aina dan Iskandar kat rumah tokwan. Nak jaga sangat.... ambil semua sekali. Tapi mama tahu, yang nak kena jaga anak-anak mama ialah tok pah yang dah sakit dan mungkin isteri baru abah. Macamana kalau nanti isteri baru abah tertekan sebab kena layan kerenah anak-anak mama? Yang akan terima akibatnya... Iman, Aina dan Iskandar. Bukannya abah atau tok wan. Jadi... biarlah mama simpan dan telan saja segala perasaan mama. Mama tak sanggup nak gadaikan anak-anak mama semata-mata untuk puaskan hati mama.

Nama mama dipanggil masuk dalam bilik hakim. Mama duduk sebelah lawyer mama. Lawyer mama membuka perbicaraan dengan menerangkan saman yang dikemukakan oleh mama dan minta mama membac wakalah perlantikan peguam. Selesai baca wakalah... hakim mula bertanya pada abah.

Hakim : "Kamu tahu apa yang bekas isteri kamu minta?"
Abah : "Ya."
Hakim : "Kamu setuju?"
Abah : "Saya nak lantik peguam."
Hakim : "Saya tanya kamu setuju atau tidak?"
Abah : "Tidak saya tak boleh bayar."
Hakim : "Baik. Saya beri tarikh baru untuk perbicaraan. Kamu kena lantik peguam. 17 April boleh?"
Abah hanya mengangguk. Dan kami pun bersurai...

Keluar dari dewan, lawyer mama cuba nak pergi bercakap dengan abah. Tapi dia buat-buat tak nampak dan terus keluar. Dia ke dalam pejabat mahkamah. Lepas beberapa minit dia keluar dan menuju ke kereta. Ada kawannya menunggu dalam kereta. Hmmm.. hari tu bukan main lagi datang bawa Waja, kali ni kena tumpang kawan pulak??
Hairan ya... nafkah edah tak mampu nak bayar. Mampu ka nak jaga Iman? 4hb Mac nanti perbicaraan kes Iman. Jumpa lagi kat sana ya....

Tuesday, February 24, 2009

Kata-kata Indah

"Kadang-kadang yang terbaik itu datang dalam bentuk derita. Dan yang melukakan itu merupakan permulaan sebuah perjalanan hidup yang penuh nikmat dan bahagia....... "

Kata-kata semangat dari seorang sahabat yang sentiasa memberi sokongan :)

Hari-hari yang berlalu....

Hari ni mama ke ofis dalam keadaan tegang. Bermacam-macam perkara yang berselirat dalam kepala mama. Deadline tugas, deadline assignment dan keselamatan mama, tok dan adik-adik. Semalam mama tidur lewat sebab nak siapkan assignment.

Sampai ja kat ofis, mama semak tugas yang perlu dibuat. Macam-macam perkara yang berderet untuk mama selesaikan. Sistem smartcard, modul temuduga, bengkel akademik, server mohon cuti... aduh... banyaknya yang perlu diselesaikan secepat mungkin. Kawan seofis mama I dan Y faham keadaan mama. Sebab diorang la mama masih bertahan kat ofis. Sedia untuk berkongsi masalah dan kadang-kadang buat lawak free yang berjaya mencetus gelak tawa mama walau setegang mana pun masalah yang mama hadapi. Alhamdulillah... mama rasa ini salah satu nikmat yang Allah beri pada mama.

2.30 petang patutnya ada demo sistem oleh staf mama. Tapi entahlah sebab apa dia tak muncul2. Jam 3 petang mama ada discussion dengan groupmate kat library. Masa tu jugak la mama dapat tahu server sistem kat KL down. Rasa serba salah nak pergi discussion ka nak settle kan problem. Lepas bincang dengan Y, akhirnya ada solution untuk masalah tu. Terus mama gerak ke library. Fuhhh.... pantas betul masa berlalu. Dah dekat jam 4 petang.
Perbincangan hari ni lancar.... harap2 siap la assignment mama kali ni.
Mama teringat pada iman, adik Is dan aina..Harap-harap cepat lah cuti semester. Mama nak sangat bawak anak-anak mama jalan-jalan. Mama plan nak bawak pergi zoo taiping. mayb kita boleh overnight kat bukit merah dan mandi-manda kat sana. Mesti bestkan..... mama doakan kita semua dapat pergi sama-sama. Ketiga-tiga anak mama adalah pelengkap hidup mama.
Iman... dah lebih 4 bulan kita tak jumpa. Sentiasalah doakan agar Allah ketemukan kita. Amin....

Monday, February 23, 2009

Ikhlaskah nak bagi jumpa?

Mama baru lepas call pejabat lawyer tadi. Tapi lawyer mama tak ada kes sekarang ni. jadi mama cuma sempat cakap dengan kerani dia ja. Mama minta dia bacakan surat dari lawyer abah yang kata mama boleh jumpa iman. Antara isi surat :
1. Mama boleh jumpa dengan syarat mesti call dulu untuk setkan masa nak pergi tengok
2. Mama boleh jumpa dengan syarat mesti jumpa kat rumah tok wan kat kulim.
3. Perkara ini bukan satu perjanjian tapi hanyalah berdasarkan percakapan melalui telefon,

Jadi... ikhlas kah abah nak bagi mama jumpa dengan iman???? Sedangkan mama call abah tak pernah angkat. Malah hantar sms amaran supaya jangan ganggu kebahagiaan dia dengan iman dan isteri barunya. Mama dah ke rumah tokwan berkali-kali untuk jumpa iman tapi dihalau dengan kayu dan maki hamun. Jadi.. kenapa sekarang ni dia suruh ke rumah, perkara yang mama dah buat berkali-kali dan setakat ni tak pernah berjaya untuk jumpa iman. Walau mama minta dengan tangisan air mata ... Tokwan kata iman tak ada.
Dan yang paling ketara.. dia tak janji pun nak bagi jumpa sebab dengan jelas abah dah mention yang ini bukan satu perjanjian..

Ikhlaskah abah nak bagi mama jumpa iman????

Harapan mama berbunga kembali..

Pagi tadi mama call lawyer. Just nak tanya updates untuk kes iman. Dia maklumkan yang lawyer abah dah reply surat yang lawyer mama hantar. Surat tu maklumkan yang abah beri kebenaran untuk mama jumpa dengan iman.

Alhamdulillah... mama harap kali ni mama dapat jumpa dengan iman. Bila dan dimana, mama akan bincang dengan lawyer mama secepat mungkin dan kali ni kami akan plan betul-betul supaya abah tak ada alasan untuk halang iman dari jumpa dengan mama.

25hb Feb ni, mama akan ke mahkamah rendah syariah. Untuk tuntutan nafkah edah. Doakan mama ye...
 
Dear Diary Blogger Template